Showing posts with label Warkah. Show all posts
Showing posts with label Warkah. Show all posts

Sunday, 5 February 2012

Titipan Cinta Buat Putera Tunggalku...

Bismillah Walhamdulillah was solaatu was salaamu 'alaa nabiyyinaa wa habeebinaa Muhammad sollalahu 'alaihi wasallam..

Assalamualaikum anakku Muhammad Fawwaz bin Mohamad Ali..

Kek Fawwaz.. bentuk love utk melambangkan
cinta umi pada fawwaz..
Hari ini usiamu meningkat lagi.. hari ini ummi dan kakak meraikan ulangtahun kelahiranmu yang ke-3.. meraikan kegembiraan dan kesyukuran kami atas kelahiran kamu ke dunia 3 tahun yang lepas.. masa itu, abi masih bersama kita fawwaz di negeri d bawah bayu.. bsama kakak alya yang hari2 memegang perut ummi smbil memanggil baby.. baby.. bersama abi yang amat gembira tika diberitahu doctor pd scan yang ke-6 bulan.. doctor berkata pada ummi, “Nampak yang bulat tu? Itulah telurnya.. it’s boy la..” tsenyum ummi dan trus mengkhabarkan pada abi..

Abi selalu mmg sifatnya sabar tersenyum gembira dan berkata pada ummi, "Alhamdulillah.. tp jgn terlalu mharap ye ummi.. abi mmg nak anak lelaki tp abi tak kisah.. abi tak nak ummi stress nanti..” itulah abi sayang.. abimu orang yang sabar.. dia amat menyayangi ummi. Walaupun hatinya ingin skali anak lelaki, tp ttp memujuk ummi dan menenangkan ummi utk tdk terlalu mharap…

Sepanjang mengandungkan kamu, tdk banyak kesulitan yg ummi  hadapi.. Cuma bezanya ummi lebih suka makan asam berbanding sewaktu mengandungkan kakak kamu alya, ummi suka makan  gula2.. yang anehnya juga, asam2 yang ummi beli dihabiskan oleh abimu yang sebelum ini tdk pernah sukakan asam.. ummi skrg lg tsenyum seemasa menulis entri ini bila membayangkan abi waktu itu dan teringatkan kenangan2 ini..

Ujian hanya datang apabila kamu hampir 9 bulan dalam perut ummi.. ummi dan abi menghadapi kesulitan utk membawa kamu pulang ke semenanjung apabila ummi dilarang naik atas sebab polisi MAS.. namun abimu usahakan jugak utk membawa kamu dan ummi pulang dgn berbincang dgn doctor di samping surat2 penting utk ditunjukkan pada MAS.. juga surat2 cuti ummi.. Alhamdulillah atas sbb kandungan ummi yang tiada masalah, ummi dapat membawa kamu ke semenanjung dgn selamat. Ketahuilah anakku, abimu lebih2 risaukan keadaan ummi di dalam flght itu.. digosok2nya perut ummi utk menenangkan kamu yang mengeras di dalam perut umi dek tekanan udara di dalam flght.. perjalanan 2jam setengah yang amat mendebarkan.. Alhamdulillah. ..

Setelah menghantar ummi, abi pulang ke sabah utk meneruskan tanggungjawabnya sebagai guru… tinggallah ummi (dan kamu dalam perut umi) juga kakakmu alya..sedihnya waktu itu… tp 3 hari sebelum tarikh kamu dijangka keluar, abi balik dari sabah..  namun sekali lagi, Allah menguji kita sekeluarga apabila kamu tidak mahu keluar dari perut ummi walaupun ‘due’ kamu sudah lebih 6 hari… ummi ingat lagi abi berkata.. “baby suka duduk dlm perut ummi ye..”ummi tahu abimu risaukan ummi (dan kamu juga) dan cuti yang diambil hampir habis..

Hari terakhir ummi checkup di klinik kesihatan, doctor mengarahkan ummi admit ke hospital besar seremban pada keesokan harinya.. esoknya.. jam 8 pg ummi ditemani abi ke hospital dengan perasaan yang berdebar.. setelah dicek, ternyata ummi tiada tanda2 utk melahirkan.. dktor bercadang utk induce ummi dan tggu sehingga 3 hari.. dan jika kamu tdk lahir dalam masa ini, ummi akan dioperate.. bila doctor mengkhabarkan hal ini pada abi, berubah muka abi.. Nampak kerisauan di wajahnya.. ditambah pula abi yang kesiankan ummi kerana terpaksa menunggu lama di hospital kerajaan itu dalam keadaan tidak selesa.. abi terus mengajak ummi ke hospital swasta..

Sampai di hospital swasta jam 12.30 tengahari.. ummi diperiksa oleh seorang doctor india perempuan yang baik.. dia kata jalan sudah terbuka. Ummi akan bersalin petang ini juga..  abi terkejut dan ummi juga hampir2 tdk percaya. Ummi dibawa ke bilik bersalin.. dengan suasana yang tenang (tenang dari waktu melahirkan kakakmu dulu).. ummi dapat melahirkan kamu dengan mudah walaupun terpksa jugak di’vacuum’ sikit utk menundukkan kepalamu sayang.. doctor kata kepalamu mendongak sewaktu dilahirkan..

5/2/2009, Khamis  bersamaan 10 Safar 1430H jam 3.52 petang, adalah saat kamu dikeluarkan dari rahim ummi. Waktu itu, ummi lihat kamu sangat sihat dan besar sekali saiz kamu (3.11kg).. ummi dan abi tersenyum gembira menyambut kamu wahai putera kesayangan ummi dan abi yang kami nanti2 selama ini... sekali lagi ujian bagi ummi dan abi bila doktor mengesahkan kamu menghidap G6PD.. ummi sedih sekali.. namun abi tetap tenang.. ummidiberi keterangan oleh dktor bagaimana utk menjaga kamu dan kesihatan kamu.. insya Allah Fawwaz, slagi ummi bernyawa kamu tetap ummi lindungi sayang... 

Inilah kisah kamu dari saat kamu di alam rahim hinggalah ke saat kamu melihat dunia ini.. anakku.. pesan ummi agar kamu menjadi anak yang soleh yang sentiasa mendoakan abimu di sana dan juga ummimu di dunia ini dan di alam sana nanti.. Fawwaz sayang, ingatlah, manusia berasal dari alam gelap dan akan kembali ke alam gelap juga.. alam gelap yang pertama ialah alam rahim di mana kamu berada dalam kegelapan di dalam perut ummi.. alam gelap yang kedua ialah alam kubur atau alam barzakh di mana tempat berakhirnya  kehidupan ini anakku…

Oleh itu, kamu harus mengisi kehidupan di antara 2 alam ini iaitu kehidupan kamu di dunia ini.. manfaat kehidupan dunia kamu untuk kehidupan akhirat kamu.. jadikan dunia ini sebagai ladang untuk kamu menuai hasil akhirat kamu.. jangan jadikan dunia ini tempat menikmati segala keniikmatan kerana ia adalah sementara..  di sana matlamat kita kerana di sana semuanya kekal abadi..

Anakku sayang, pesan ummi juga jagalah kakakmu kerana tanggungjawab kamu sebagai anak lelaki amat besar.. kamulah yang bakal jadi tonggak keluarga kita.. atas pundak kamulah nanti akan diletakkan segala tanggungjawab penting untuk membawa keluarga kita menjadi keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang akan membahagiakan kita hingga ke syurgaNya insya Allah.. jangan lupa selalu doakan abimu di sana.. kerana doa anak yang soleh itu akan sentiasa mengalir pahala buat abimu di alam sana.. jangan lupa jasa dan kasih sayang abimu walaupun kamu hanya sempat 2 tahun 3 bulan sahaja merasai kasih abi.. ketahuilah anakku sayang, abimu sangat sangat menyayangi dirimu.. airmatanya sentiasa mengalir bila teringat pada kamu di akhir hayatnya dulu…

Akhirnya, selamat hari lahir yang ketiga sayang.. walaupun ummi tidak dapat membawa kamu pulang menziarahi abimu sempena hari lahirmu ini, namun ketahuilah hari ini, hari lahir kamu yang bertuah kerana jatuhnya bersamaan hari kita menyambut kelahiran Nabi junjungan kita Nabi Muhammad s.aw. "allahumma salli ala muhammad wa ala aali sayyidina Muhammad.." semoga keberkatan baginda Kekasih Allah ini memberi tempias juga pada diri kamu sayang.. semoga kamu mewarisi sifat2 mulia dari insan kamil ini… amin….. ummi bahagia sekali dapat melahirkan kamu, membesarkan kamu, mendidik kamu.. juga bahagianya hati ummi kerana dapat memberikan kegembiraan kepada abimu dengan kelahiran kamu sayang..  

Besarnya harapan ummi pada kamu, besar lagi kasih dan cinta ummi pada kamu dan kakak kamu.. ummi cinta abi kamu, Mohamad Ali, Kakak kamu, Nur Aleeya Sofea dan kamu, Muhammad Fawwaz KERANA ALLAH…… semoga kita sentiasa bersama dan berkumpul kembali di syurgaNya yang abadi di sana.. amin ya Allah… kabulkanlah ya Allah…

La Hawla Wala Quwwata Illah Billahil 'Aliyyil 'Aziim.......

Thursday, 28 July 2011

Warkah dari Sudan..

Assalamualaikum Faizah sadiqati wa hamimati,


Apa khabar Pae, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak. Pae, saya mungkin tidak rasa apa yang Pae rasa. Tapi saya tahu sekarang Pae sangat sunyi, tiada teman berkongsi rasa untuk gelak ketawa dan ketika duka. Please Pae, kuatkan hati Pae ingatlah Allah yang mengaturkan perjalanan hidup Pae semenjak kecil, sehingga berkahwin mempunyai anak, kemudian suami pergi meninggalkan Pae... sesungguhnya Allah tahu dan tidak pernah lupa. Dia akan terus mengatur hidup Pae, Dia tidak pernah menganiaya hamba.


Pae, tafakkurkan ke dalam diri. Pada waktu dan ketika ini ada ribuan perempuan di seluruh dunia yang kehilangan teman hidup, ada ribuan perempuan mendidik anak sendirian. Pae tidak keseorangan, ketahuilah semua ribuan itu sentiasa dikasihi Allah, dijaga oleh Allah yang tidak pernah lalai. Allah mendengar tangisan jutaan anak yatim. Kerana dunia ini tidak kekal,tidak baqa'. Ertinya setiap insan tidak suka perpisahan, tidak suka kehilangan...itulah bukti yang jelas di sana ada SATU TUHAN dan di sana ada HARI PERTEMUAN dan HARI AKHIRAT YANG ABADI.


Kalaulah Allah, tidak pernah membiarkan semut yang kelaparan diberikan rezekinya, Allah juga pengasih kepada cacing di dalam tanah ada rezekinya, Allah juga mendengar keluhan burung2 di pagi yang lapar diberinya rezeki, Allah juga mendengar keinginan makhluk2nya yang kecil yang lain lagi. Mustahil Allah tidak mendengar rayuan dan tangisan hambanya, sebaik-baik kejadian. ALLAH lebih lagi mendengar rayuan dan tangisan makhluk bernama manusia.


Makhluk bernama manusia ini menangis kerana berpisah daripada kekasihnya, rindu dan lemah tidak berdaya. Katahuilah PAe, Allah itu MAHA HIDUP tidak pernah mati, dia akan menghidupkan dan menyatukan hamba-hamba yang terpisah di negeri abadi.


Pae, kita ini semua umpama askar yang diutuskan menjalankan tugas rasmi. Setiap kita diberi arahan untuk melaksanakan tugas oleh jeneral agung. Apabila selesai tugas kita, sudah tentu kita perlu pulang. Setiap bayi yang lahir menerima watikah melaksanakan tugas sebagai tentera Allah. Di medan dunia inilah kita belajar dan terus belajar, medan ini kita bertempur dgn nafsu, di medan ini kita berusaha membantu orang lain. Dan bayi itu apabila telah selesai tugasnya sama ada ketika kecil atau tua tetap akan pergi untuk diganti tentera yang lain pula.


Begitulah peralihan semenjak zaman Adam. Semua kita datang dengan tugas, untuk mengenali Tuhan dan untuk mencari bekal. Insya Allah, Ali telah pun pulang ke kampung asalnya negeri syurga dan kita semua bakal pulang juga. Bukan kah kita semua merindui kampung halaman kita juga. Allah pasti tidak sia-siakan perasaan rindu kita kepada kekasih dan kepada kampung asal kita, kampung datuk kita Adam. Di sana semua kekasih akan dihimpunkan. Mudah-mudahan kita berkumpul bersama Baginda SAW. Alangkah bahagianya Ali, sekarang dia di tempat paling indah, mungkin sangat hampir dengan Baginda SAW. Pae, usahlah sedih dan hiba, ketahuilah Ali sekarang dalam inayah ALLAH tiada lagi keluh kesah. Pae, pasti sukakan yang terbaik untuk Ali. Pae pasti mahu Ali bahagia, dan sekarang Ali sedang berbahagia. Dan kita semua juga pasti menyusul tidak lama lagi.


Salam Ramadhan...senyumlah Pae, Allah pasti membuka rahsianya untuk Pae, serulah nama-Nya.

Thursday, 14 July 2011

Warkah dari kejauhan..pengubat duka di hatiku..

Kau sahabatku dunia akhirat...
Assalamualaikum Pae yang dikasihi,


Apa khabar sahabatku. Saya doakan Pae sihat di samping anak2.


Pae sekarang tinggal dengan mak ke, insya ALlah nanti saya balik tahun depan saya dekat dengan Pae, saya kat Nilai. Insya Allah kita jumpa selalu.


Pae macamana sekarang? Selesai ke urusan Arwah semua? Semoga dimudahkan segala urusan.


Saya harap pae terus tabah, walaupun saya tahu Pae kesunyian dan sangat rindu. Saya tahu Pae juga mungkin lemah berbanding dulu. Allahu Allah..berilah kegembiran buat sahabatku ini.


Anak-anak macamana sekarang? saya doakan segala keselamatan buat mereka.


Pae, yakinlah Ali sekarang sedang tenang dan gembira, itulah janji ALlah untuk hambanya yang sabar. Kita ini teruslah menghadiahkan kepada yang pergi. Insya ALlah anak2 juga menjadi anak yang soleh tinggi akhlak, pewaris Ali yang paling berharga.


Pae, saya doakan Pae selalu. Teruslah sabar dan tabah Pae...dunia ini sangat sekejap. Bercakaplah selalu dengan Ali, dia dekat sahaja di hati Pae. Bila Pae ingat Ali, sudah tentu Pae semakin ingat Allah.


Al-Fatihah.


Love u always

Friday, 8 July 2011

Terima kasih sahabatku atas nukilanmu utkku..


Pae, biarkan air mata itu gugur kerana sudah lama ia terpendam tersimpan. Andai kau menangis kerana kehilangan kekasihmu, ketahuilah tidak lama lagi kita semua pasti menyusuli dia. Kalian akan bertemu dan berkumpul lagi di dalam kehidupan abadi.


Andai kau tangisi keperitan dan penderitaannya, ketahuilah dia kini sedang tersenyum gembira. Dia sedang berehat di taman syurga. Telah terlepas dari jeriji besi penjara dunia.


Andai kau tangisi anak-anak yang kehilangan bapa, bergembiralah Pae, mereka kini dalam jaminan Dia. Tiadalah jaminan sebaik jaminan-Nya. Anak-anak yatim dicintai Allah dan RasulNya. Aliya dan Fauwaz telah meningkat tinggi darjat mereka di kalangan sekalian anak kerana mereka telah bersabar sebagaimana Ali dan Pae bersabar. Bukankah Baginda SAW dahulu yatim juga.


Sahabatku Pae,


Teruskanlah langkahmu, ukirkan senyuman, meskipun ia pahit perit. Senyumlah kepada kesedihan, kehilangan, kerinduan, kerana dikau akan dapati semua itu akan kembali tersenyum kepadamu. Segala musibah yang berat besar menggunung kau akan dapati ia mengecil dan terus kecil.


Terbuktilah sudah kepada dirimu bahawa dunia ini tiada apa, hanya akhirat janji kita. Berbahagialah pae, kerana engkau isteri solehah, engkau ibu yang tabah. Tiadalah Allah itu memungkiri janji.


Pae,


Pernah kau bisikkan kepadaku, kau ada tikanya teguh berdiri, ada tikanya kau terduduk rebah. Benar, kerana kita hanyalah hamba. Di hadapan kita taqdir yang tidak terduga. Yang kita ada hanya doa dan redha.


Ku ulangi, dunia ini dewan ujian, bagi membezakan iman siapakah laksana Abu Bakar dan siapa pula Abu Jahal. Dirimu dan Ali kini berkilauan laksana berlian permata yang ditekan dan ditekan namun aku ini masih umpama arang tiada nilai tiada ditekan. 


Sahabat, selagi hayat dikandung badan insya Allah kami akan terus menyokongmu. Senyumlah wahai sahabat sebagaimana senyumanmu dahulu walau ia kaku.


Ketahuilah, janji sebenar Pae dan Ali bukan di sini, tetapi di sana nanti. Bersabarlah sudah tidak lama, sebentar sahaja lagi. Dunia ini hanya sekelip mata. Kalian tidak pun terpisah jauh, hanya sehelai tirai memisahkan dunia dan barzakh. Tersingkap tirai itu Pae akan bertemu kembali kekasih hati.


Pae,


Sekiranya senyuman mu bersulam air mata, biarkanlah kerana kau hanyalah perempuan. Ku doakan dari kejauhan, moga kau sentiasa di dalam pelukan rahmat dan kasihan belas Allah. Semoga Allah memelihara kalian sekeluarga.


Jagalah diri baik-baik. Doa kami sentiasa untuk kalian.
Al-Fatihah.


http://albazrah.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...